Orang ramai mendaftar sebelum menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Movenpick Hotel dan Convention Centre KLIA, Sepang pada 20 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

8,500 mohon rebat RM20 ke pusat vaksin, 3,000 telah ditebus

SHAH ALAM, 28 JULAI: Sebanyak 8,500 permohonan rebat RM20 diterima bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab sehingga semalam.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata daripada jumlah tersebut, hampir 7,000 permohonan diluluskan sejak dibuka 20 Jun lalu.

Ahmad Azri Zainal Nor menjelaskan dalam tempoh sama, seramai 3,000 individu pelbagai lapisan umur menebus rebat untuk ke pusat vaksin sekitar Lembah Klang.

“Majoriti pemohon berusia antara 20 hingga 40 tahun memandangkan golongan ini celik teknologi dan mempunyai akaun Grab.

“Alhamdulillah, penerimaan begitu menggalakkan kerana kelonggaran juga diberi kepada mereka yang terlepas semasa mendapat dos pertama vaksin dan ditebus untuk suntikan dos kedua,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan tablet kepada pelajar Sekolah Agama Menengah (SAM) Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11 di sini hari ini.

Mereka yang menerima tarikh vaksin boleh memohon dengan mendaftar di www.platselangor.com dan tekan butang Inisiatif MBI Bisnes Amal.

Permohonan rebat yang dibuka 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Sebelum ini, inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk berusia 50 tahun ke atas tetapi diperluas ke semua peringkat usia.


Pengarang :