Anggota polis bersama tentera mengawal laluan keluar masuk di sekitar kawasan Mentari Court ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 1 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

9,000 penduduk Mentari Court divaksin mulai esok

SHAH ALAM, 4 JULAI: Seramai 9,000 penduduk Mentari Court di PJS 8 yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sejak Khamis akan menerima vaksin bermula esok.

Pegawai Daerah Petaling Dato’ Johary Anuar berkata proses suntikan pelalian diberikan secara berperingkat selepas saringan kontak rapat dan bergejala selesai hari ini.

“Kita tidak buat ujian Covid-19 kepada semua memandangkan bilangan penduduk yang ramai. Vaksin pula diberikan kepada individu disahkan negatif dan penduduk yang layak,” katanya ketika dihubungi.

Setakat pagi semalam, hampir 2,700 penduduk di Blok A dan Blok B selesai disaring.

Penduduk Mentari Court menjadi kumpulan pertama dalam negeri ini menerima vaksin dalam kawasan PKPD. Perumahan itu dikenakan kawalan ketat selepas lebih 500 kes Covid-19 dikesan.

Perintah kawalan turut dikenakan ke atas Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS dalam tempoh berkenaan.

Bermula semalam, 34 mukim dalam lapan daerah Selangor dikenakan PKPD selama 14 hari bagi membendung Covid-19. Tempoh itu bakal dilanjut jika penularan wabak gagal ditangani.

 


Pengarang :