Aktiviti hebahan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4 Bandar Baru Bangi Daerah Hulu Langat oleh Jabatan Penerangan Negeri Selangor pada 1 Julai. Foto Facebook Jabatan Penerangan Negeri Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

936 penduduk Pangsapuri Sri Ayu terima vaksin sejak kelmarin

SHAH ALAM, 12 JULAI: Seramai 936 penduduk Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima suntikan vaksin sejak kelmarin.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Najmuddin Jemain berkata penerima vaksin itu melibatkan penghuni di empat daripada tujuh blok penempatan tersebut.

“Berdasarkan senarai penduduk, pemberian vaksin dijangka melibatkan 2,040 individu tetapi kita perlu kemas kini senarai dengan pejabat kesihatan daerah (PKD) dari semasa ke semasa.

“PKD perlu mengecualikan penduduk berdasarkan beberapa faktor antaranya melibatkan individu masih positif Covid-19 serta sudah menerima janji temu vaksin dalam tempoh terdekat,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian vaksin kepada individu yang bebas Covid-19 di lokasi PKPD akan dipercepatkan untuk memastikan mereka dilindungi.

Pangsapuri Sri Ayu dikenakan PKPD bermula 30 Jun sehingga esok susulan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokasi terbabit dengan 205 kes positif dikesan dalam tempoh sebulan.

Langkah itu bagi memastikan penduduk berisiko dijangkiti wabak kekal berada dalam kawasan serta tidak menjangkiti komuniti luar.


Pengarang :