Pesakit Covid-19 melakukan pendaftaran sejurus tiba di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu Covid-19 (PKRC) di MAEPS Serdang pada 29 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

98.7 peratus kes Covid-19 hari ini kategori satu, dua

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Sebanyak 15,368 kes atau 98.7 peratus daripada jumlah keseluruhan 15,573 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan pada hari ini berada pada kategori satu dan dua.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 7,095 atau 45.6 peratus daripada kes yang dilaporkan hari ini dalam kategori dua iaitu bergejala ringan sementara kes kategori satu atau tidak bergejala adalah sebanyak 8,273 atau 53.1 peratus.

“Keseluruhannya hanya 1.3 peratus daripada kes yang dilaporkan hari ini berada pada kategori tiga, empat dan lima,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 102 kes atau 0.6 peratus berada pada kategori tiga iaitu pesakit mengalami radang paru-paru dan 74 kes atau 0.5 peratus pada kategori empat iaitu radang paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen.

Sebanyak 29 kes atau 0.2 peratus berada pada kategori lima iaitu kritikal, katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, kes sembuh Covid-19 yang dicatatkan pada hari ini ialah sebanyak 10,094 sementara kes kematian pula ialah 144 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian mencecah 7,718 kes.

Kes aktif di seluruh negara sekarang ialah 147,386 kes dengan sebanyak 939 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 456 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan, katanya.

Beliau berkata kajian berterusan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institusi Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak telah mengenal pasti 119 kes varian baharu yang kesemuanya varian membimbangkan (VOC).

Kata Dr Noor Hisham, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) sebanyak 429 dengan 409 ialah VOC manakala 20 kes merupakan VOI.

“Sehingga kini, bagi VOC terdapat 206 kes varian Beta, 189 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :