Pengerusi Majlis Perwakilan Ketua Kampung (MPKK) Kampung Chuang Rasa Tan Ching Keok mewakili ADN Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong menyerahkan bantuan barangan asas kepada seorang lelaki kelainan upaya (OKU) yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 11 Julai 2021. Foto Facebook Lee Kee Hiong
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Kuala Kubu Bharu belanja lebih RM82,000 salur bantuan makanan

SHAH ALAM, 16 JULAI: Sejumlah RM82,446.45 dibelanjakan untuk agihan bakul makanan kepada penduduk Kuala Kubu Bharu yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sehingga 30 Jun lalu.

Wakil rakyatnya berkata inisiatif dijalankan sejak pertengahan Februari tahun ini memanfaatkan ribuan masyarakat yang majoriti golongan berpendapatan rendah (B40) dan hilang punca pendapatan.

“Edaran yang dibuat setiap hari oleh ketua kampung, ahli majlis dan wakil persatuan penduduk turut menumpukan keluarga mengibarkan bendera putih di rumah mereka.

“Penduduk diberi barang keperluan asas bernilai RM50 dan RM100 bergantung pada permohonan dibuat melalui pihak berkaitan,” kata Lee Kee Hiong ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau menjelaskan bakul bantuan diperoleh dari kedai runcit berhampiran sebagai usaha menyokong perniagaan penduduk setempat selain menampan kemelesetan ekonomi dihadapi peniaga terbabit.

“Kita tidak boleh menumpukan (perolehan barang) di pasar raya besar sahaja kerana peniaga kedai runcit juga mencari rezeki dan mahu mendapat keuntungan.

“Melalui kaedah yang saya gunakan, pihak berkenaan akan membeli barang keperluan tersebut dan memulangkan resit kepada pusat khidmat untuk direkodkan,” katanya lagi.


Pengarang :