Seorang ibu dan anak yang menerima bantuan kerana terjejas pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan daripada Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar. Foto Facebook PKM Meru
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN sedia bantu orang susah kibar bendera putih

SHAH ALAM, 2 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor sedia membantu penduduk yang mengibarkan bendera putih kerana mengalami kesukaran hidup dan terjejas pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata kempen itu memudahkan wakil rakyat mengenal pasti golongan memerlukan kerana tidak semua orang susah mempunyai kemudahan telefon pintar atau tahu saluran permohonan.

“Sudah ada dibantu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru selepas mereka mengibarkan bendera putih dengan diberi makanan, susu bayi dan lampin pakai buang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kempen terbabit dimulakan warga maya di media sosial bagi membantu golongan susah dengan mengibarkannya di halaman rumah sekiranya tiada makanan dan memerlukan bantuan.

Wakil rakyat Sentosa Dr G Gunarajah berkata pendekatan itu turut membantunya mengesan dua keluarga di Kampung Padang Jawa, Klang, semalam.

“Ini memudahkan kami membantu golongan kurang bernasib dan menyalurkan bekalan makanan yang menerima peruntukan tambahan RM50,000 menerusi Pakej Kita Selangor 3.0.

“Kami turut menyediakan makanan setiap hari, sebanyak 120 bungkus di pusat khidmat bermula jam 4 petang manakala 300 untuk makanan tengah hari di Kampung Jawa dijalankan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan,” jelasnya.

ADN Balakong, Wong Siew Ki turut menyokong kempen tersebut namun berpendapat penyelesaian jangka panjang perlu dirangka bagi membantu golongan terjejas.

“Pemberian makanan hanya sekali sahaja dan paling penting untuk kita bantu mereka menstabilkan pendapatan selepas semua sekatan dihentikan,” katanya.


Pengarang :