Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto Facebook Istana Negara
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong ‘amat dukacita’ batal Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda

SHAH ALAM, 29 JULAI: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa “amat dukacita” dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda,” kata kenyataan Istana Negara hari ini.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pad 26 Julai lalu bahawa kerajan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.”

Baginda turut menzahirkan rasa “amat dukacita” berhubung titah pembatalan semua ordinan berkenaan mestilah dibentang dan dibahaskan di Parlimen seperti persetujuan dalam majlis menghadap secara maya pada 24 Julai.

Menurut kenyataan Istana Negara lagi, Majlis menghadap dua hari sebelum Sidang Khas Dewan Rakyat awal minggu ini disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Ketika sidang khas itu bermula, Takiyuddin tiba-tiba memaklumkan semua ordinan tersebut telah dibatalkan pada 21 Julai. Namun semua pihak termasuk ahli-ahli parlimen terkejut dengan kenyataan tersebut yang dibuat tanpa warta atau hebahan umum.

“Saya ingin sahkan hari ini, dan saya tertakluk (pada peraturan) kalau saya bercakap tidak benar, bahawa kerajaan Persekutuaan memutuskan untuk tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang baharu apabila (ia) tamat pada 1 Ogos nanti.

“Kerajaan juga telah buat keputusan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembangaan Persekutuan untuk membatalkan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dibuat semasa Proklamasi Darurat, maka isu ungkai atau annulment tidak lagi relevan… enam ordinan direvoke (batal) berkuat kuasa 21 Julai 2021,” katanya tanpa menyatakan enam ordinan terlibat.

Susulan itu, dalam kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Baginda menegaskan permohonan pembatalan semua ordinan pada 21 Julai “dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen”.

Baginda juga menzahirkan pandangan bahawa “kenyataan (menteri) yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghomati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.”

“Seri Paduka Baginda sedia maklum ada perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat jemaah menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja lagi.

Namun, tambahnya, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan Baginda berkewajipan menyampaikan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Baginda turut menegaskan ahli-ahli parlimen agar mengutamakan kemaslahatan rakyat dan negara pada sesi sidang khas yang sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap masalah berkaitan Covid-19.


Pengarang :