Sumbangan sejuta dos vaksin AstraZeneca dan 4.5 juta unit peralatan perubatan oleh Arab Saudi bagi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik Covid-19 – Foto Facebook ISTANA NEGARA
AGENDANASIONAL

Agong, permaisuri zahir penghargaan Arab Saudi sumbang sejuta vaksin, alat perubatan

SHAH ALAM, 30 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan penghargaan kepada pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Istana Negara dalam kenyataan berkata Baginda berdua menghargai sumbangan sejuta dos vaksin AstraZeneca dan 4.5 juta unit peralatan perubatan bernilai USD5 juta (RM21 juta) bagi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik Covid-19.

“Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan penghargaan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud atas sumbangan yang tiba di Malaysia menerusi dua pesawat Saudia Airlines semalam dan hari ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai kemurahan hati Yang Mulia Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang telah menitahkan Pusat Kemanusiaan Raja Salman supaya segera menyalurkan sumbangan vaksin dan peralatan perubatan kepada Malaysia,” maklum kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.

Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Hussein atas pelaksanaan kerjasama di antara kedua-dua negara dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini.

Katanya, Baginda juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Datuk Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan dan kerajaan Arab Saudi atas sumbangan berkenaan.

“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini membantu negara memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebatkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.


Pengarang :