Selangorkini
Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) mengunjungi Mohd Latiff Rahmad (kiri) yang kehilangan isteri dan anak akibat Covid-19 di Kampung Batu 4, Ijok, Kuala Selangor pada 17 Julai 2021. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kuala Selangor
AGENDA NASIONAL

Aidiladha tidak bermakna selepas hilang isteri, anak serentak akibat Covid-19

SHAH ALAM, 19 JULAI: Sambutan Aidiladha tidak bermakna bagi seorang lelaki warga emas dari Kuala Selangor apabila isteri dan anaknya maut akibat Covid-19 minggu lalu.

Mohd Latiff Rahmad, 67, dari Kampung Batu 4, Ijok berkata isteri, Sainon Kutut, 61, dan anak, Azman Mohd Latiff, 25, meninggal dunia selang enam jam pada Rabu lalu, lapor Berita Harian.

“Susah nak digambarkan apa yang dirasa ketika ini. Allah SWT sahaja yang mengetahui perasaan saya sewaktu Dia ‘ambil’ isteri dan anak dalam waktu singkat.

“Selepas ini, saya harus kuat menempuh kehidupan tanpa mereka,” katanya.

Menurut Mohd Latiff, isterinya yang menghidap kencing manis dan darah tinggi meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada jam 4.30 pagi manakala Azman pula menyusul enam jam kemudian di rumah dipercayai sesak nafas.

Katanya, beliau menerima berita kematian Azman yang dibawa ke Hospital Tanjong Karang ketika beliau sedang mendengar taklimat pengurusan jenazah isterinya di HSB.

Terdahulu, Mohd Latiff dikunjungi Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang juga pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC).


Pengarang :