Unit berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelihatan memulakan tugasan bagi membantu operasi ronda mencegah penyeludupan sempadan negara. Foto: BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Aktiviti jenayah rentas sempadan terus meningkat – PGA

PASIR MAS, 5 JULAI: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) memaklumkan, berlaku peningkatan pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan di Kelantan, Terengganu dan Pahang, pada Januari hingga 31 Jun lepas, berbanding tempoh sama tahun lepas.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Hasan Basri Ahmad Safar berkata, dalam tempoh Januari hingga 31 Jun 2020, pihaknya berjaya mematahkan 296 kes dengan 252 tangkapan, melibatkan nilai rampasan sejumlah lebih RM 10.2 juta.

“Namun sejak Januari hingga 31 Jun tahun ini pula, PGA mematahkan sebanyak 464 kes jenayah rentas sempadan, dengan menahan 458 individu serta merampas pelbagai barangan seludup yang bernilai lebih RM 33.2 juta, iaitu peningkatan sebanyak 224 peratus, berbanding tahun lepas,” katanya pada sidang media Op Benteng, di Markas Taktikal PGA Lubok Setol, di sini hari ini.

Menjelas lanjut beliau berkata dalam tempoh setahun ini, kes mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Kawal Selia Padi Beras 1994, merupakan kes tertinggi direkodkan iaitu kedua-duanya sebanyak 79 kes, dengan nilai rampasan masing-masing melebihi RM3.5 juta dan RM1.9 juta.

“Manakala, bagi rampasan barangan tertinggi adalah melibatkan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu mencatatkan nilai lebih RM13.7 juta dengan 64 kes,” katanya.

Hasan Basri berkata, antara aktiviti jenayah rentas sempadan yang turut digagalkan oleh PGA dalam tempoh itu adalah, kes mengikut Akta Racun 1952 dengan 42 kes dan rampasan bernilai kira-kira RM3.4 juta, serta Akta Binatang 1953 iaitu 18 kes, dengan nilai rampasan RM2.15 juta.

Ditanya mengenai faktor berlakunya peningkatan aktiviti jenayah rentas sempadan, Hasan Basri tidak menolak kemungkinan bahawa, ia disebabkan desakan hidup susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

“Bagaimanapun, kami akan sentiasa memantau dan memperketatkan kawalan keselamatan di pintu sempadan negara, bagi memastikan kes-kes penyeludupan dapat dibanteras,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya juga telah menahan seramai 135 pendatang tanpa izin dari pelbagai negara dan 19 tekong, dan merampas 15 kenderaan yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin, menerusi Op Benteng sepanjang tempoh separuh tahun pertama ini.

Mengulas berhubung projek rintis Op Bersepadu antara PGA dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang dilancarkan 16 Jun lepas Hasan Basri berkata, kerjasama antara kedua-dua pasukan keselamatan itu berjaya mematahkan 13 kes penyeludupan barangan, dengan rampasan bernilai RM318,459.96, setakat ini.

“Melalui projek rintis itu yang dijalankan sehingga 16 Julai ini, seramai enam lelaki turut ditahan serta tujuh kenderaan telah dirampas,” katanya sambil memaklumkan kajian semula terhadap Op Bersepadu berkenaan akan dijalankan sebelum ia dilaksanakan secara tetap.

– BERNAMA


Pengarang :