Penggali kubur mengambus tanah ketika pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Amal Valley peruntuk RM50,000 sediakan PPE urus jenazah Covid-19

AMPANG, 25 JULAI: Pertubuhan Amal Valley (AVO) memperuntuk RM50,000 dalam penyediakan sut pelindung diri (PPE) bagi pengurusan jenazah Covid-19 dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Sukarelawan, Hadri Aizat Hamzah, 33, berkata peruntukan yang tinggi itu disebabkan kadar kematian di Lembah Klang meningkat mendadak berbanding kebiasaan seiring peningkatan kes harian.

Hadri Aizat Hamzah

“Setiap PPE berharga antara RM40 hingga RM45. Jika sehari kes dikendalikan adalah 10, kita darab dengan dua sukarelawan yang pergi di situ 20 PPE kita gunakan, pernah juga sampai 30 kes maka 60 PPE kita gunakan untuk sehari itu sahaja.

“Jumlah itu tidak termasuk PPE yang kita sediakan kepada waris yang ingin turut serta membantu dengan diberikan secara percuma,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pengunaan PPE juga bertambah mengikut situasi, sebagai contoh sekiranya hospital tidak menguruskan proses tayammum dan solat, maka pihaknya akan menguruskan proses berkenaan.

Jelasnya, jika kariah tanah perkuburan tidak mahu menguruskan pengebumian juga akan meningkatkan penggunaan PPE di mana pihaknya perlu menghantar pasukan lain bagi proses pengebumian.

Waris memberi penghormatan terakhir dari jauh kepada jenazah pesakit Covid-19 semasa urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada 21 Julai, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM50,000 kepada AVO bagi menyediakan alat pengurusan jenazah pesakit Covid-19 meliputi beg mayat dan PPE.

Pertubuhan itu merupakan organisasi lantikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menguruskan jenazah membabitkan hospital di Selangor.

Pengerusinya Dr Azfar Hussin berkata sejak April tahun lalu, pihaknya menguruskan hampir 2,000 jasad bermula dari bilik mayat hingga ke liang lahad secara percuma di sekitar Lembah Klang.

Katanya, aktiviti sukarelawan itu sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) Klinik As-Salam yang memiliki 11 cawangan selain turut menerima sumbangan pelbagai pihak termasuk waris jenazah.


Pengarang :