Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada program Strategi Pasca Covid-19 (PSPC19) semalam. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar: Buka ruang perbahasan Parlimen, bincang isu pandemik

SHAH ALAM, 17 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak agar ruang perbahasan Dewan Rakyat dibuka seluasnya bagi memberi peluang kepada ahli parlimen membincang isu pandemik Covid-19.

Ketua pembangkang berkata perkara itu diusulkannya menerusi sepucuk surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

“Ingin ditekankan, keberkesanan pelaksanaan program kerajaan dalam mendepani pandemik hanya dapat diketahui serta ditambah baik apabila ahli parlimen diberi ruang menyuarakan cadangan dan pandangan semasa perbahasan,” katanya di Facebook hari ini.

Anwar turut mengingatkan peranan semak imbang Dewan Rakyat tidak harus disekat sebaliknya perlu dimartabat.

“Ahli parlimen tidak dibayar untuk hadir menggangguk dan mengiyakan semua perkara tanpa perbahasan yang tuntas dan terperinci,” katanya.

Kerajaan bersetuju mengadakan sidang Dewan Rakyat selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos manakala sidang Dewan Negara diadakan tiga hari bermula 3 Ogos.

Pada 16 Jun, Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang “secepat mungkin” untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan Covid-19.

Baginda sekali lagi menzahirkan pandangan sama ketika menerima menghadap speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada 29 Jun.


Pengarang :