Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanya khabar kepada seorang warga emas yang juga penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid Convention Centre, Subang Jaya pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar dakwa pemerintah cuai punca kes Covid-19 naik

SHAH ALAM, 22 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa peningkatan kes Covid-19 selain jumlah kematian yang tinggi berpunca kecuaian pemerintah.

Ketua pembangkang berkata masalah berlaku disebabkan keangkuhan pemimpin yang menganggap diri mereka serba tahu sehingga mengetepikan pandangan pihak lain.

“(Sekarang) jumlah suntikan vaksin membanggakan walaupun kita terlewat lima hingga enam bulan dari negara lain. Kita merangkak-rangkak untuk sampai tahap ini.

“Beberapa cadangan awal dah bagi. Kita minta semua rakyat divaksin satu dos dahulu selain minta benarkan klinik swasta buat vaksinasi tetapi sekarang baru nak buat selepas berbulan-bulan kita cadangkan,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebooknya semalam.

Anwar turut mendakwa tindakan bercanggah serta pertelingkahan dalam kalangan menteri menjadi punca beberapa hospital tidak mampu menampung jumlah pesakit.

“Pada 18 Julai, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang jadi berselerak macam pasar. Nak salahkan siapa? Petugas semua bertungkus lumus.

“Lihat beban van jenazah. Masalah dah rumit dan kritikal macam darurat. Punca adalah pengabaian, kelembapan vaksin setta undang-undang pilih kasih,” katanya.

Pada Mac, Anwar menyarankan kerajaan menggunakan dos kedua petugas hadapan untuk disuntik kepada orang awam sebagai langkah mencegah pandemik Covid-19.

Pakatan Harapan (PAKATAN) juga menggesa Kementerian Kesihatan serta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Baksin Covid-19 membenarkan Kerajaan Negeri dan hospital swasta menjual vaksin bagi mempercepatkan proses pengendaliannya pada Mei lalu.

 


Pengarang :