Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor (LZS)
AGENDANASIONAL

B40 di Selangor dipelawa mohon RM500, jangka manfaat 15,000 individu

SHAH ALAM, 7 JULAI: Golongan berpendapatan rendah (B40) yang terkesan akibat Covid-19 dipelawa memohon bantuan sekali bayar berjumlah RM500 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua pegawai eksekutifnya, Saipolyazan M Yusop berkata permohonan dibuka secara dalam talian menerusi laman web http://www.zakatselangor.com.my. sejak 2 Julai lepas.

“LZS memperuntuk sejumlah RM10.5 juta bagi tujuan ini yang dijangka memberi manfaat kepada 15,000 individu dan ketua keluarga yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan akibat pendemik.

“Sumbangan ini diharap sedikit membantu golongan terkesan susulan pelaksananan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta PKP Diperketatkan di beberapa mukim,” katanya menerusi temu bual secara maya bersama Media Selangor.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan agihan zakat sebanyak RM69.3 juta menerusi 19 inisiatif bagi membantu golongan terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi yang akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember tahun ini.

Empat agenda bersasar dilaksanakan untuk memenuhi keperluan asnaf, fakir, miskin dan mualaf, meringankan beban golongan rentan, menyokong pemulihan institusi agama di Selangor serta menyokong keperluan asas barisan hadapan.


Pengarang :