Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Banding kes Covid-19 antara negeri, bukan canang Selangor tertinggi

SHAH ALAM, 27 JULAI: Semua pihak perlu membuat perbandingan data jangkitan Covid-19 mengikut negeri dan bukannya setiap hari hanya mencanangkan Selangor mencatat kes tertinggi.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berkata sudah beberapa kali penegasan diberikan jumlah penduduk tinggi menjadi sebab utama negeri berkenaan terus kekal berada di kedudukan pertama bagi kes harian tertinggi.

“Jika 68 kes di Selangor, ia sama dengan satu kes di Labuan. Jika 100 kes di Labuan pula, ia sudah mencecah 6,800 kes di Selangor. Itu persoalannya, kes ini mesti dinisbahkan dengan penduduk.

“Jangan hari-hari dalam sidang akhbar, kata Selangor tertinggi sedangkan patut lakukan ujian seluruh negeri dan buat matriks yang tepat. Jangan memangsakan Selangor,” kata bekas menteri kesihatan itu.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika berbahas pada hari kedua Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.


Pengarang :