Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bantu ibu bapa daftar, tuntut rebat Grab ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 10 JULAI: Anak-anak diminta membantu ibu bapa atau ahli keluarga yang berusia lanjut menuntut rebat e-panggilan Grab bagi pengangkutan ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata kebanyakan golongan itu juga sukar membuat pendaftaran kerana tidak mahir menggunakan teknologi

Ahmad Azri Zainal Nor menjelaskan keadaan itu menyebabkan bilangan pendaftaran warga emas berusia 50 tahun ke atas masih rendah dengan anggaran 200 permohonan setakat semalam.

“Saya berharap anak-anak boleh bantu ibu bapa daftar rebat ini menggunakan akaun Grab mereka bagi memudahkan proses mengambil suntikan vaksin.

“Tidak semestinya orang yang daftar itu kena naik, tetapi mereka perlu ada tanggungjawab pastikan perjalanan pergi dan balik ibu bapa masing-masing dalam keadaan baik,” katanya dalam temu bual secara maya hari ini.

Sebelum ini inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk negeri ini berusia 50 tahun ke atas.

Namun pada 6 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat perjalanan tersebut dibuka kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira usia.

Permohonan yang dibuka pada 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh negeri dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Orang ramai boleh melayari pautan www.platselangor.com dan tekan butang Inisiatif MBI Bisnes Amal untuk mendaftar.

 


Pengarang :