EXCOSELANGOR

Baucar pelancongan mungkin diperkenal Oktober, bergantung situasi Covid-19

SHAH ALAM, 16 JULAI: Kerajaan Negeri menawarkan 20,000 baucar pelancongan Selangor 2.0 yang dijangka boleh ditebus seawal Oktober sekiranya kes Covid-19 menunjukkan pemulihan.

EXCO pelancongan berkata pihaknya sedang memantau perkembangan semasa penularan wabak serta peralihan negeri ini ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara.

Menurutnya, bagi mencapai sasaran itu kadar pemberian vaksin di Selangor perlu mencapai 80 peratus daripada penduduknya untuk membolehkan kelonggaran diberikan termasuk kebenaran merentas daerah.

“Mungkin kita perlu tunggu sehingga Oktober untuk memperkenalkan baucar itu kepada orang ramai untuk ditebus dan digunakan.

“Kita berharap baucar pelancongan ini dapat menggalakkan orang ramai melancong dalam Selangor dan membantu penggiat sektor,” kata Hee Loy Sian ketika dihubungi di sini, hari ini.

9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta bagi kelangsungan industri pelancongan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Daripada jumlah itu, RM1 juta diperuntukkan untuk menyediakan 20,000 baucar pelancongan Selangor 2.0 bernilai RM50 setiap unit yang diagihkan melalui kaedah e-dompet dan e-baucar.

Pada 18 Disember tahun lalu, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Pengagihan membabitkan 10,000 baucar untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.


Pengarang :