Keadaan unit rawatan rapi (ICU) hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Bekalan tangki oksigen Hospital Selayang cukup, tiada inisiatif kutip dana

SHAH ALAM, 10 JULAI: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menafikan Hospital Selayang menghadapi kekurangan bekalan tangki oksigen sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini dan tiada inisiatif kutipan dana dilakukan untuk hospital tersebut.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman menerusi hantaran di Facebook JKNS berkata Hospital Selayang mempunyai sejumlah 1,325 port dan setakat ini bekalan tangki oksigen adalah mencukupi.

“Dimaklumkan bahawa inisiatif kutipan dana tersebut tidak dilakukan oleh mana-mana anggota Hospital Selayang. Pengurusan Hospital Selayang atau kakitangan hospital juga tidak meminta mana-mana pihak untuk mengumpulkan dana bagi pihak Hospital Selayang,” katanya.

Sementara itu, Selayang Hospital menerusi hantaran Facebook turut menafikan menghadapi masalah kekurangan bekalan oksigen.

“JKNS menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan kiriman media sosial yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan tidak menyebarkannya. Sila hubungi terus pihak hospital jika mempunyai sebarang pertanyaan,” menurut hospital berkenaan yang turut berkongsi dua keping gambar bagi menafikan kutipan derma yang sedang dibuat pihak tertentu untuk hospital berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :