Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bekas menteri Wilayah Persekutuan bebas tuduhan rasuah

PUTRAJAYA, 16 JULAI: Mahkamah Rayuan hari ini membebas dan melepaskan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada pertuduhan rasuah selepas membenarkan rayuan bekas menteri Wilayah Persekutuan itu untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Hakim Datuk Suraya Othman, yang membacakan keputusan majoriti 2-1 berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam penghakimannya apabila beliau mendapati perayu (Tengku Adnan) bersalah atas pertuduhan itu.

“Perayu sepatutnya telah dibebaskan. Kami perlu campur tangan dan benarkan rayuan ini.  Oleh sebab itu kami mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Hakim Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Suraya.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy bersetuju dengan Hakim Suraya, manakala Hakim Datuk Abu Bakar Jais, menentang.

Pada 21 Dis tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta terhadap Tengku Adnan, yang dikenali sebagai Ku Nan, selepas mendapati beliau bersalah.

Tengku Adnan, 70, didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan, menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan tugas rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda.

— BERNAMA

 


Pengarang :