Mohd Ghazali Anuar membungkus snek untuk dijual dan dipasarkan secara dalam talian
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Beli hasil petani, peniaga pecal bantu sekampung raih untung

Foto HAFIZ OTHMAN

SHAH ALAM, 31 JULAI: Seminggu dua kerap menerima sayur-sayuran percuma daripada beberapa petani di kampungnya menjentik naluri Mohd Ghazali Anuar.

Menyedari mereka bukan orang senang, kemurahan hati mereka mencetus ilham kepada peniaga pecal berusia 56 tahun untuk saling membantu.

Pemilik Baiworld Kitchen mempelbagai produk jualan. Beli hasil tani mereka, proses untuk dijadikan kudapan baharu. Ternyata, ia berhasil. Jualannya melonjak. Petani pula memperoleh pendapatan. Tiada lagi lambakan sayuran terbuang.

Setiap minggu, beliau membeli hampir 700kg hasil tanaman antaranya bayam brazil, pegaga, petola, pisang tanduk dan peria. Hasilnya, beliau meraih jualan RM3,000 sehari.

Mohd Ghazali Anuar menceritakan pengalamannya membangunkan perniagaan pecal sehingga meraih jualan memberangsangkan dalam e-Bazar Raya 2021

Malah, perniagaannya yang dibimbing Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) mencatat jualan antara tertinggi dalam kempen e-Bazar Raya 2021.

Awalnya, Mohd Ghazali cuma berniaga kudap-kudapan kecil-kecilan sejak Mac tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru dikuat kuasa.

Sekadar untuk menambah pendapatan bagi menampung belanja keluarga terutama pengajian anak di universiti dan sekolah.

Berbekal modal RM500, anak jati Sabak Bernam itu memilih sambal pecal buatan isteri sebagai produk sulung. Sambal kegemarannya dinamai Sambal Pecal Ustazah Hafiza sempena nama isterinya, seorang guru.

Luaskan pasaran

Beliau hanya menjual kepada penduduk setempat, rakan Facebook dan kenalan kumpulan WhatsApp. Beberapa balang terjual dalam sehari. Namun, ada kalanya satu pun tidak terjual.

Mohd Ghazali tidak putus asa sebaliknya gigih meluaskan pasaran termasuk memasarkan sambal pecal ke platform Shopee. Mulai April 2020, produknya memasuki pasaran dalam talian itu.

“Sebelum itu dapatlah jual sikit-sikit sahaja, setakat dua, tiga kilogram dengan meningkat sedikit demi sedikit tetapi bila masuk Shopee dan tambah produk lain, jualan melonjak dengan cepat,” katanya kepada SelangorKini.

Melalui Shopee, Sambal Pecal Ustazah Hafiza yang berharga RM15 sebekas terjual lebih 3,000 balang. Itu belum termasuk produk lain. Lazimnya, jualannya sekitar RM3,000 sehari. Namun pada waktu tertentu, misalnya penganjuran kempen tanggal istimewa, jualannya mencecah RM4,000 sehari.

Kejayaan Mohd Ghazali hasil bimbingan Sidec yang banyak mendedahkan teknik meningkatkan jualan dalam talian. Banyak kelas diikutinya dengan tekun.

“Terima kasih kepada Sidec kerana banyak membantu saya selok belok perniagaan dalam talian terutama menambah jualan produk keluaran Baiworld Kitchen,” katanya.

Bantu petani

Namun, keuntungan bukan perkara terpenting buat Mohd Ghazali. Beliau mahu manfaat yang diperolehnya dinikmati bersama. Apatah lagi, PKP yang berlarutan pasti menjejaskan kehidupan penduduk kampung.

Mohd Ghazali Anuar (kiri) menyusun kotak mengandungi produk keluarannya untuk dipos kepada pelanggan

“Oleh sebab orang kampung tidak dapat jual hasil tanaman, mereka beri secara percuma kepada jiran-jiran termasuklah ada yang hantar ke rumah kami supaya tidak membazir begitu sahaja.

“Ini memberi saya idea untuk membantu mereka dengan membuat produk berasaskan hasil pertanian penduduk kampung,” katanya.

Mohd Ghazali juga menggalakkan petani di kampungnya mengusahakan tanaman untuk perniagaannya. Beliau memperoleh jaminan bahan segar manakala petani tidak lagi bergantung kepada orang tengah.

Bukan sekadar itu, beliau juga membuka peluang pekerjaan untuk golongan asnaf menambah pendapatan. Selain dua pekerjanya, 10 orang lagi diberi tugasan menggoreng di rumah masing-masing. Beliau sendiri memberi bimbingan dan peralatan.

Kesungguhan itu turut mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar yang kagum berikutan percikan kejayaan Mohd Ghazali turut membantu pekebun kecil di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam dan membuka peluang pekerjaan kepada asnaf.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan dan Kerajaan Negeri berbesar hati melihat bagaimana kempen e-Bazar membantu perusahaan kecil dan sederhana menjana pendapatan ketika PKP,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

 


Pengarang :