Selangorkini
Suasana pusat penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas, Klang pada 19 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

Belum ada keputusan pusat nilai Covid-19 Sri Andalas dipindah

KLANG, 19 JULAI: Keputusan sama ada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Taman Sri Andalas di sini dipindahkan atau sebaliknya belum ditetapkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis berkata ketika ini pusat tersebut masih dalam tempoh penilaian dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) serta Pengerusi Bencana Daerah yang boleh memutuskannya.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sekiranya dipindahkan lokasi dilihat sesuai adalah di Dewan Pelabuhan Klang dan Dewan Botani kerana berada jauh dari lokasi penduduk.

“Perkara dibangkitkan penduduk Taman Sri Andalas ialah berkaitan parkir, trafik serta pesakit berkeliaran di kawasan penduduk dengan ada antara mereka yang meludah.

“Bagi mengatasi masalah itu pesakit diminta meletakkan kenderaan di Taman Rakyat dan kita menyediakan van untuk mengambil mereka ke CAC,” katanya selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil penduduk dan PKD di Surau An Naim di sini.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Taman Sri Andalas dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhubung isu Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang didakwa menganggu penduduk di Surau An- Naim, Klang pada 19 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mohd Zawawi berkata kaedah itu bagaimanapun kurang mendapat sambutan dan pihaknya mencadangkan isu meletak kenderaan di kawasan berkaitan dimaklumkan awal bagi memastikan pesakit lebih peka.

Jelasnya, situasi orang ramai dan masalah parkir hanya berlaku pada Isnin iaitu lebih 1,800 individu hadir dan pada hari lain jumlah pesakit yang datang ke CAC sekitar 700 orang.

Pada 13 Julai, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata seramai 1,900 orang hadir ke pusat berkenaan pada Isnin lalu melepasi kapasiti 1,000 pesakit sehari.

CAC ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.


Pengarang :