Raja Fadilah Raja Deraman yang lebih dikenali sebagai Kak Cun menunjukkan produk rempeyek yang dihasilkannya ketika ditemu bual di kedainya sekitar Seremban, baru-baru ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Beri geran bantuan antara cadangan kurang beban usahawan PKSM

SHAH ALAM, 27 JULAI: Menyediakan geran bantuan antara enam langkah dicadang Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM) terjejas akibat pandemik.

Pengerusinya Mohd Yahya Mat Sahri berkata kerajaan perlu menyediakan geran RM20,000 kepada pengusaha sederhana diikuti pengusaha kecil (RM10,000) dan pengusaha mikro (RM5,000).

“Geran itu boleh diberi melalui persatuan perdagangan masing-masing bagi membantu usahawan tersebut bangkit meneruskan perniagaan disamping dapat terus menggaji pekerja.

“Selain itu, demi mencegah penularan wabak Covid-19 kerajaan digesa mempercepatkan pemberian vaksin kepada usahawan ini termasuk pekerja mereka. Hal ini penting bagi memastikan perniagaan dapat beroperasi dengan selamat,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Mohd Yahya berkata kerajaan juga diminta menyemak semula maksud perkhidmatan tidak perlu yang mungkin dianggap perlu bagi segelintir pihak.

“Kerajaan perlu menyemak maksud “essential” dan “non-essential” yang dikaitkan dengan barangan dan perkhidmatan. Sebagai contoh, sebuah pasaraya dibenar menjual peti sejuk, televisyendan pakaian sedangkan kedai yang turut menjual barangan tersebut tidak dibenar beroperasi,” jelasnya.

Menurutnya, penerangan secara maya berhubung tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi usahawan dan pekerja juga harus diberi agar mereka boleh menjalankan perniagaan dengan selamat.

Beliau turut mencadangkan kelonggaran sekatan perjalanan mengikut negeri dilonggarkan kepada mukim dan memansuhkan had perjalanan 10 kilometer (km) sebaliknya ditukar had sempadan.

Justeru, Mohd Yahya berharap kerajaan dapat mempertimbang cadangan itu demi menyelamatkan sektor PKSM meskipun negara dilanda pandemik.


Pengarang :