DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tengah) berkenan menerima menghadap Timbalan Mufti Selangor yang baharu Prof Madya Dr Miszairi Sitiris di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 13 Julai 2021. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bimbang rebakan kes, Sultan titah rai Aidiladha secara sederhana

SHAH ALAM, 13 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menasihatkan umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana di kediaman masing-masing dan tidak merentas daerah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah langkah itu bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 terus merebak seperti ketika Hari Raya Aidilfitri selain kes sporadik yang semakin tinggi.

“Baginda meminta rakyat berkorban kerana wabak ini masih meruncing, malah jangkitan baharu di Selangor melebihi 4,000 kes sehari selain jumlah kematian mencecah 2,063 orang,” menurut kenyataan Facebook Selangor Royal Office.

Kebimbangan itu dizahirkan baginda ketika menerima menghadap Timbalan Mufti Selangor yang baharu Prof Madya Dr Miszati Sitiris di Istana Bukit Kayangan, dekat sini hari ini.

Sultan Selangor turut menggesa jumlah vaksin untuk rakyat negeri ini ditambah supaya pemberiannya selari dengan nisbah populasi penduduk serta kadar jangkitan wabak.

“Memandangkan terdapat banyak kilang dan perindustrian di negeri ini, baginda menitahkan supaya pekerja kilang diberikan vaksin segera sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan dan mencapai imuniti kelompok,” menurut kenyataan itu.

Pada 8 Jun, Sultan Selangor berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk penduduk negeri ini.

Baginda terkejut apabila Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19, bukan 2.9 juta seperti dakwaan sebelum ini.

 


Pengarang :