Petugas kesihatan bersama hadiah penghargaan diberikan penduduk Pangsapuri Sri Ayu. Foto ihsan Pusat Maklumat Rakyat Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat.
AGENDANASIONAL

Bunga, coklat, patung beruang hadiah penduduk hargai petugas kesihatan

SHAH ALAM, 15 JULAI: Sebagai menghargai jasa petugas barisan hadapan, penduduk Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4 Bandar Baru Bangi meraikan kakitangan kesihatan dengan memberi hadiah berupa patung beruang, bunga dan coklat.

Hadiah itu dijatuhkan daripada balkoni mereka dan disambut dengan tarian oleh kakitangan tersebut yang lengkap memakai sut perlindungan diri pada 13 Julai lalu, lapor Malaysiakini.

“Setelah selesai operasi pemotongan gelang terhadap semua penghuni di sini, petugas telah diberikan pelbagai hadiah antaranya, bunga, coklat, patung beruang dan makanan.

“Terima kasih kepada semua penghuni di sini yang menghargai tugasan kami,” kata Pusat Maklumat Rakyat Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat dalam hantaran di Facebook semalam.

Petugas kesihatan bersama sebahagian hadiah diberikan penduduk
Pangsapuri Sri Ayu. Foto ihsan Pusat Maklumat Rakyat Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat.

Petugas tersebut turut menasihatkan penduduk agar kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) meskipun telah tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kami berharap semua penghuni terus jaga diri dan kesihatan, kerap cuci tangan dengan air dan sabun atau gunakan cecair pembasmi kuman, pakai pelitup muka dan jaga jarak fizikal satu meter,” katanya.

Pangsapuri Sri Ayu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu sejak 30 Jun sehingga 13 Julai ekoran terdapat lebih 200 penduduk dijangkiti Covid-19.


Pengarang :