Seorang petugas kesihatan lengkap berpakaian sut pelindung diri (PPE) membantu warga emas menolak kerusi roda di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati Shah Alam ketika tinjauan SelangorKini pada 17 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

CAC Stadium Malawati terkawal, sedikit sesak sebelah pagi

SHAH ALAM, 17 JULAI: Tersalah barisan dan datang terlalu awal antara faktor Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati di sini, hari ini sedikit sesak pada waktu pagi.

Tinjauan SelangorKini pada jam 10 pagi mendapati terdapat individu positif Covid-19 beratur bersama mereka yang mahu memotong gelang tamat kuarantin hingga menyebabkan barisan panjang.

Kekeliruan itu berlaku berikutan orang ramai mula beratur seawal jam 7 pagi sedangkan CAC hanya dibuka pada jam 9 pagi.

Situasi bagaimanapun terkawal sebaik petugas  datang memaklumkan orang ramai lorong tepat untuk beratur sama ada lorong golongan positif Covid-19 atau  lorong memotong gelang kuarantin.

Terdapat juga petugas yang lengkap memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) menolak troli berisi air mineral untuk diberikan kepada mereka yang sedang beratur.

Sekitar jam 11.30 pagi keadaan kembali tenang dan teratur di mana tiada lagi barisan panjang dan situasi itu berterusan hingga tengah hari.

Pada 12 Julai, hampir 4,000 individu hadir ke CAC di Stadium Malawati, Seksyen 13 di sini bagi membuat penilaian kesihatan.

Pegawai Perubatan CAC Dr Ziti Akhtar Supian berkata jumlah berkenaan antara yang tertinggi direkodkan sejak dibuka lima bulan lalu.


Pengarang :