AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cegah remaja bunuh diri, kesan perubahan tingkah laku

SHAH ALAM, 3 JULAI: Ibu bapa dan rakan perlu peka melihat perubahan tingkah laku remaja yang mengalami masalah kesihatan mental dan mungkin mendorongnya membunuh diri.

Pakar psikologi kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata petanda seseorang termasuk individu berusia 15 hingga 18 tahun mengalami masalah itu antaranya sikap ceria menjadi murung dan mengurungkan diri dalam bilik kerana enggan bertemu masyarakat luar.

Menurut Dr Fauziah Mohd Saad, ibu bapa, adik beradik dan rakan sebagai insan terdekat harus segera memberi bantuan dengan mencurah kasih sayang serta cuba mengembalikan semangat individu terbabit.

“Apabila merasa disayangi serta ada keyakinan diri, mental mereka kembali stabil berdepan apa jua masalah dan tidak lagi berniat melakukan tindakan luar jangka seperti membunuh diri.

“Kalau tidak dicegah awal mungkin lebih parah, lazimnya kalau seseorang itu nekad membunuh diri…dia akan memberitahu perinciannya termasuk bila dia mahu melakukannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Statistik bunuh diri dilaporkan media pada Khamis menunjukkan lebih dari 1,000 kes bunuh diri dicatatkan sejak tahun 2019 sehingga Mei tahun ini kebanyakannya melibatkan mangsa berusia 15 hingga 18 tahun, iaitu seramai 872 orang.

Fauziah berkata masalah keluarga dan peribadi termasuk terlanjur dalam perhubungan antara faktor remaja di usia terbabit mengambil jalan mudah dengan membunuh diri.

“Sebab itu selain peranan individu terdekat, kerajaan juga perlu menggiatkan lagi kempen pencegahan bunuh diri di semua peringkat usia.

“Nilai positif harus diterapkan dalam diri seseorang supaya daya tahan mereka ditingkatkan untuk menghadapi kehidupan,” katanya.


Pengarang :