Anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan polis melakukan operasi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di premis perniagaan dan kilang sekitar Taman Perindustrian Seri Kembangan pada 22 Julai 2021. Foto MBSJ
AGENDANASIONAL

250 kes Covid-19 libat kluster tempat kerja antara 47 kluster baharu

SHAH ALAM, 30 JULAI: Sebanyak 250 kes Covid-19 dikesan melibatkan kluster tempat kerja Industri Jalan Sepintas di Klang, Kuala Langat dan Petaling, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jangkitan tersebut merupakan yang terbesar di antara 47 kluster baharu di seluruh negara seperti diumumkan KKM hari ini.

Kluster tersebut dikesan hasil saringan seramai 3,455 pekerja.

Daripada 47 kluster baharu hari ini, sebanyak 24 kluster melibatkan tempat kerja dengan sekurang-kurangnya 1,197 kes dikesan.

Selain itu, turut dikesan 17 kluster komuniti (489 kes) antaranya melibatkan Kluster Kampung Haji Saman di Bachok, Kelantan.

Kluster Kampung Haji Saman berpunca individu wanita berusia 34 tahun yang menghadiri majlis perkahwinan pada 18 Julai kini sudah menjangkiti 21 individu.

Dua kluster juga dikesan melibatkan kumpulan berisiko tinggi di dua rumah jagaan serta satu pusat perubatan.

Turut dikesan kluster melibatkan dua institusi pendidikan di Kuala Selangor dan Melaka manakala satu kluster berpunca aktiviti keagamaan di Felda Sungai Koyan 3 di Lipis, Pahang.

Secara keseluruhan, terdapat 1, 092 kluster aktif di seluruh negara.


Pengarang :