Kakitangan perubatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur mengenakan sut perlindungan diri (PPE) susulan kenaikan kes Covid-19 ketika tinjauan pada 16 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Covid-19: 96 peratus kes baharu hari ini babit pesakit kategori satu, dua

SHAH ALAM, 15 JULAI: Sebanyak 96 peratus daripada keseluruhan 13,215 jangkitan baharu Covid-19 hari ini membabitkan pesakit bagi kategori satu dan dua, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Hisham Abdullah berkata hanya empat peratus iaitu 531 kes adalah dalam kategori tiga hingga lima.

“Pesakit kategori satu (tiada gejala) hari ini ialah 8,047 kes iaitu 60.9 peratus, kategori dua (gejala ringan) 4,367 kes (35.1 peratus). Jumlah 12,684 kes.

“Ini menunjukkan sebahagian besar daripada kes positif yang dilaporkan hari ini daripada kumpulan tidak bergejala dan bergejala ringan,” kata Dr Noor Hisham pada sidang media.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, beliau memaklumkan kes aktif kini sebanyak 108,369. Daripada jumlah itu 885 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 432 memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sehingga semalam kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 dalam negara adalah 1.19 berbanding 1.16 yang direkodkan kelmarin.

Menurut beliau, Terengganu mencatat Rt tertinggi iaitu 1.40 manakala negeri serta wilayah lain yang merekodkan paras lebih 1.0 adalah Putrajaya (1.31), Kedah (1.19), Selangor (1.18), Kuala Lumpur (1.17) dan Pahang (1.16).

Melaka mencatat nilai Rt 1.15, Negeri Sembilan (1.13), Pulau Pinang (1.10), Sabah (1.06), Johor (1.05) dan Perak (1.04).

Rt menunjukkan kadar secepat mana penularan Covid-19 merebak. Ia digunakan untuk meramal berapa jumlah individu yang mungkin akan mendapat jangkitan wabak. Semakin tinggi nilai Rt, semakin ramai akan disahkan positif.

 


Pengarang :