Keadaan di unit rawatan rapi (ICU) di salah sebuah hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Covid-19: Jumlah dirawat tinggi, penggunaan katil ICU lebih 90 peratus

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kes Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) masih tinggi apabila jumlah penggunaan katil melebihi 90 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata data menunjukkan tiada penurunan ketara sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 (6 hingga 12 Jun) hingga kini.

Menurutnya, jumlah purata kes baharu selama tujuh hari (30 Jun hingga 6 Julai) adalah sebanyak 6,539 kes dan masih tinggi berbanding nilai ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari.

Pada masa sama, petugas barisan hadapan (perubatan dan kesihatan) juga mengalami keletihan fizikal serta mental (burnout) kerana terpaksa berjuang menangani begitu banyak kes untuk tempoh berlarutan.

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara terus mengekalkan rekod 7,000 kes hari ini dengan 7,097 dan Selangor mencatat angka lebih 3,000 iaitu 3,119 kes.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes yang memerlukan rawatan di ICU sebanyak 948 kes manakala bantuan pernafasan (441) dan 91 kematian.


Pengarang :