Selangorkini
Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kelantan melakukan ujian saringan Covid-19 kepada penumpang yang tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa pada 18 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kemasukan pesakit di pusat kuarantin Kelantan meningkat selepas Aidiladha

KOTA BHARU, 28 JULAI: Kemasukan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini meningkat sejak beberapa hari lepas, selepas Hari Raya Aidiladha.

Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata berikutan itu sebanyak 11 PKRC di seluruh negeri itu telah mencapai kapasiti penggunaan katil antara 80 hingga 98 peratus.

“Secara keseluruhan sehingga kini terdapat sebanyak 2,300 katil di seluruh PKRC dan ada antara PKRC iaitu PKRC Pusat Tarbiah Islam Kelantan di Pengkalan Chepa dan juga PKRC Jubli Perak, Kota Bharu telah mencapai kapasiti penggunaan katil mencecah 98 peratus.

“Malah, pada Jumaat ini juga kita akan membuka semula PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan Salor selain kita juga sedang mengenal pasti satu lokasi baharu di luar daerah Kota Bharu untuk dijadikan PKRC,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Unit Pengangkutan Covid-19 di pekarangan Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Kelantan di sini hari ini.

Semalam Kelantan merekodkan sebanyak 592 kes baharu Covid-19 dengan enam kluster baharu dilaporkan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zurairie berkata bagi mengelakkan berlaku kesesakan pesakit di PKRC, pihaknya telah mengambil kaedah untuk discaj pesakit menerusi penilaian klinikal.

Menurut beliau bagi pesakit kategori satu yang tidak mempunyai gejala, mereka akan dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam sebelum dibenarkan pulang bagi menjalani Perintah Pengasingan di Rumah (HIO) berbanding sebelum ini mereka dikuarantin selama 11 hari di PKRC.

“Bagi pesakit kategori dua dan ke atas yang bebas daripada sebarang gejala pula mereka akan dibenarkan pulang untuk HIO selepas dipantau secara klinikal selama tempoh 48 hingga 72 jam,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kebenaran pesakit untuk melakukan HIO bergantung kepada kriteria rumah yang bersesuaian selain pesakit dan penjaga juga mempunyai akses melalui telefon bagi memudahkan pemantauan.

“Bagi mereka yang dibenarkan pulang untuk menjalani HIO, kita memohon agar berdisiplin ketika berada di rumah dan dengan kenaikan kes Covid-19 di negeri ini sekarang, kita perlukan kerjasama semua pihak,” katanya sambil menambah, golongan berkenaan juga akan didaftarkan di Pejabat Kesihatan Daerah sebagai pesakit HIO.

– BERNAMA


Pengarang :