Petugas kesihatan menguruskan jenazah yang meninggal akibat wabak Covid-19 ketika tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada 9 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kes kematian kembali lepasi tiga angka

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kes kematian akibat Covid-19 kembali mencatat tiga angka iaitu sebanyak 107 kes hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan korban di negara ini mencecah 5,434 kes.

Kali terakhir Malaysia merekod kes kematian tiga digit ialah pada 29 Jun lalu, juga sebanyak 107 kematian.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan menyebut hampir separuh kematian yang dicatat adalah di Selangor dengan 51 kes diikuti Kuala Lumpur (21) dan Negeri Sembilan (11).

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Johor mencatat enam kematian, masing-masing lima kes di Kedah dan Pahang, Melaka (empat) serta masing-masing (satu) di Sabah, Sarawak, Perak dan Labuan.

Berdasarkan carta yang dikongsi, lebih 70 kematian mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi dengan membabitkan individu berusia antara 34 hingga 92 tahun.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata data terkini nilai kebolehjangkitan (RT) mengikut kes harian seluruh negara pada 2 Julai adalah 1.07.

Katanya, negeri yang mencatatkan RT tertinggi adalah Pahang iaitu 1.27. Negeri-negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Putrajaya (1.13), Selangor (1.07), Pulau Pinang (1.07), Melaka (1.07), Kuala Lumpur (1.03), Kedah (1.03), dan Perak (1.00).


Pengarang :