Petugas kesihatan menguruskan jenazah yang meninggal akibat wabak Covid-19 ketika tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada 9 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Lebih 50 maut akibat kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia

SHAH ALAM, 2 JULAI: Angka kematian akibat Covid-19 semalam meningkat kepada 84 kes berbanding 62 dilaporkan pada Rabu lalu.

Daripada jumlah itu, lebih 50 kes membabitkan mangsa mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan menyebut kematian termuda akibat penyakit itu membabitkan wanita berusia 30 tahun di Sungai Buloh, Selangor.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata selain itu terdapat tiga kematian akibat obesiti melibatkan seorang lelaki dan dua wanita lingkungan umur 30-an dan 40-an.

Katanya, hanya Selangor merekodkan kematian dua angka dengan 46 kes manakala negeri lain masing-masing enam kes di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor serta Sabah (lima).

Manakala Sarawak dan Melaka masing-masing mencatat empat kes, Labuan (tiga), Pahang (dua) serta masing-masing satu di Terengganu dan Putrajaya.

Jumlah berkenaan menjadikan keseluruhan 5,254 individu maut di seluruh negara akibat wabak sejak lebih setahun lalu.

Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 21 kluster baharu dengan 11 daripadanya membabitkan kluster tempat kerja. Secara keseluruhan terdapat 2,865 kluster dalam negara sejak pandemik dengan 1,978 kluster telah tamat dan 887 lagi masih aktif.


Pengarang :