Orang ramai diminta mengehadkan aktiviti luar bagi mengelakkan strok haba. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cuaca panas dan kering dijangka hingga September

SHAH ALAM, 24 JULAI: Fenomena keragaman iklim ketika ini antara faktor negara dilanda cuaca panas dan kering hingga pertengahan September.

Pakar klimatologi dan pengerusi jabatan sains bumi dan alam sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata fenomena dipengaruhi monsun barat daya mengakibatkan suhu tinggi selain taburan hujan rendah terutama pada Julai.

Prof Fredolin Tangang menjelaskan kehadiran pusat perolakan ditingkatkan berskala besar di kawasan Malaysia dan Indonesia juga mempunyai kaitan dengan fenomena berkenaan, lapor Berita Harian

“Ia menyebabkan cuaca dialami ketika ini kering dan panas namun situasi biasa serta sebagai sebahagian daripada keragaman iklim.

“Setakat ini kawasan utara Semenanjung mungkin lebih terkesan dengan cuaca panas berbanding lokasi lain dalam negara,” katanya yang menjangka suhu tidak lebih 40 darjah celsius.

Sementara itu, pensyarah perubatan dan pakar perubatan kesihatan awam fakulti perubatan dan sains kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) menasihatkan orang ramai mengelak melakukan aktiviti mudah terdedah kepada matahari.

Menurut Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat, langkah itu bagi mengekalkan kesihatan selain mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Individu bekerja di luar perlu sentiasa memakai krim pelindung matahari bagi menghalang kulit daripada sinar ultra ungu matahari (UV) yang boleh memberi risiko untuk jangka panjang,” katanya.


Pengarang :