BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Dapat sambutan baik, CEPat rekod nilai transaksi RM1.38 juta

SHAH ALAM, 4 JULAI: Aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ atau CEPat merekodkan nilai transaksi lebih RM1.38 juta selepas hampir dua tahun penggunaannya.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata jumlah yang direkodkan sehingga Mei lalu melibatkan urusan pembayaran lebih 34,000 pengguna di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Penggunaan aplikasi ini mendapat sambutan kerana sememangnya transaksi dalam talian menjadi pilihan masa kini. Pengguna tidak perlu hadir ke mana-mana PBT dan ini memudahkan urusan mereka.

“Kerajaan Selangor akan memperbanyak lagi perkhidmatan digital ini selain terus mempromosikan CEPat ke seluruh negeri supaya ia dapat digunakan sepenuhnya menjelang 2022,” katanya ketika dihubungi.

Orang ramai diwajibkan mempunyai aplikasi CEPat mulai 16 Januari lalu untuk menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor.

Aplikasi yang diperkenal pada Ogos 2019 turut menawarkan kemudahan bayaran cukai taksiran, kompaun, parkir, bayaran bil utiliti dan tambah nilai kad prabayar.

CEPat boleh dimuat turun di Google Playstore dan AppStore.


Pengarang :