Peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti mendengar penerangan daripada sukarelawan selepas menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 21 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dari awan biru ke pusat vaksin, pramugari teruja jadi sukarelawan

GOMBAK, 22 JULAI: Tidak dapat bertugas sepenuh masa di awan biru gara-gara pandemik Covid-19 bukan penghalang seorang pramugari untuk menyumbang bakti kepada masyarakat dengan menjadi sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV).

Pramugari, Zahira Badrulzaman, 35

Zahira Badrulzaman, 35, yang hampir 12 tahun berkhidmat di syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh AirAsia X memulakan tugas murni itu sejak dua bulan lalu di PPV Dewan MPAJ Keramat AU5, Ampang dan Dewan Sri Siantan, Gombak. 

Meskipun perlu menempuh suasana berbeza, namun beliau yang mesra disapa Ira teruja dipilih sebagai sebahagian petugas barisan hadapan bagi memastikan proses suntikan menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) berjalan lancar.

“Industri penerbangan antara yang terjejas akibat Covid-19 sehingga memaksa saya mengambil cuti tanpa gaji sejak Disember tahun lalu. Apabila diberi peluang jadi petugas PPV, saya rasa seronok kerana sudah biasa jumpa orang.

“Cuma keadaan sedikit berbeza kerana dalam pesawat saya hanya beri perkhidmatan kepada penumpang tetapi di PPV menuntut saya menjadi lebih peramah bagi memantau tahap kesihatan orang ramai selepas divaksin,” katanya yang bertugas di stesen pemerhatian.

Selain Zahira, seorang lagi sukarelawan, Hidayatunnur Ahmad, 30, menghargai peluang yang diberikan untuk berbakti kepada masyarakat menerusi program berkenaan.

Hidayatunnur Ahmad, 30

Beliau yang bertugas di dua PPV sama sejak dua minggu lalu mengakui seronok melakukan tugas tersebut kerana dapat mengisi masa terluang di samping menimba pengalaman berurusan dengan masyarakat.

“Saya boleh lihat macam-macam ragam terutama dalam kalangan warga emas kerana ada sebahagian mereka mempersoalkan kesan dihadapi selepas suntikan vaksin.

“Bagaimanapun, saya gembira dapat beri penjelasan kepada mereka bahawa vaksin sebenarnya tidak menjejaskan kehidupan seharian,” katanya yang turut bertugas di kaunter pemerhatian.


Pengarang :