Dato’ Seri Amirudin Shari bertanya khabar seorang warga emas yang juga penerima vaksin AstraZeneca ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 25 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Dari Kaca Mata MB: Program vaksin negeri cepatkan imunisasi rakyat

Sedutan pengumuman Program Vaksin Selangor di Shah Alam pada 30 Jun yang disiarkan di akhbar Selangorkini edisi 1-7 Julai 2021.

Tarikh 18 Mac 2020 merupakan detik awal corak kehidupan biasa kita berubah selepas kerajaan persekutuan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Saat itu, kita belum faham sepenuhnya apa itu virus Covid-19, dan tidak sedar impak sekatan-sekatan yang terpaksa kita lalui sebagai tanggungjawab bersama.

Ini menyebabkan kita rela menyerahkan beberapa kebiasaan seperti bersapa dengan kawan dan keluarga, hadir ke pejabat, mengunjungi ibu dan ayah di kampung halaman sambil menyambut perayaan dengan keluarga tercinta terbatas. Terima kasih kerana memikul tanggungjawab ini bersama-sama.

Kita berharap dengan cita-cita ‘Kita Jaga Kita’ makanya wabak Covid-19 dapat diatasi.

Namun, kita tidak menjangkakan terpaksa mengharungi situasi lockdown sebegini rupa, yang kini memasuki hari ke-468 jika dihitung dari 18 Mac tahun lalu.

Saya insafi keresahan dan kemarahan rakyat. Saya menyedari menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memastikan rakyat dapat bersama-sama berdepan dengan krisis ini dengan jayanya, terutamanya dalam mendapatkan vaksin.

Pada 16 Februari lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam usaha memberikan vaksin kepada rakyat demi mencapai imuniti kelompok.

Petugas kesihatan membuat persiapan sebelum memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Saya amat berbangga dengan sikap proaktif dan keinginan rakyat negeri ini untuk mengambil bahagian dalam program berkenaan. Sukacita saya maklumkan bahawa 3,979,716 individu iaitu 83.42 peratus sudah mendaftar untuk memohon vaksin.

Namun kita harus akui, sehingga 28 Jun, hanya 851,118 individu menerima dos pertama manakala hanya 270,221 telah lengkap menerima dos kedua.

Angka yang rendah ini disebabkan bekalan vaksin yang terhad. Masalah ini bukan hanya berlaku di Selangor dan Malaysia tetapi juga di rantau Asia Tenggara dan Afrika.

Keadaan ini telah mendorong Kerajaan Negeri untuk tampil ke hadapan melancarkan Program Vaksin Selangor (Selvax), usaha melengkapkan dan mempercepatkan proses vaksinasi rakyat dengan mengenal pasti kumpulan sasaran (Selvax Komuniti) serta memelihara pekerja (Selvax Industri) dalam negeri yang merupakan penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Program percuma Selvax Komuniti ini akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor (500,000 dos) yang masih belum divaksin, manakala Program Selvax Industri merupakan sebuah program berbayar yang terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran 1 juta pekerja (2 juta dos).

Perolehan bekalan

Selain daripada usaha menangani wabak penularan Covid-19 sedia ada yang merangkumi pemakaian pelitup muka dan cecair basmi kuman di peringkat individu, Kerajaan Negeri mengorak langkah dengan melakukan saringan besar-besaran (mass testing) sebagai sebahagian kaedah bersandarkan data dan sains dalam merangka piawaian kesihatan awam.

Ternyata, punca perebakan wabak bermula di kawasan-kawasan kilang. Lanjutan daripada itu, suatu rangka kerja dipanggil sistem pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS) mula diperkenalkan agar tempat kerja lebih selamat.

Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Negeri menyedari betapa proses vaksinasi wajar dipercepat agar imuniti kelompok tercapai lebih awal. Bermula 11 Januari lagi, saya telah mengumumkan hasrat Kerajaan Negeri membeli bekalan vaksin dan telah melantik Selgate Healthcare pada 24 Februari untuk menjuarai usaha ini. Selgate Healthcare adalah entiti di bawah Kerajaan Negeri yang telah mengelolakan Skim Peduli Sihat dan mengoperasikan 16 klinik Selcare di Lembah Klang.

Rentetan itu, akhirnya termeterai perjanjian Pembekalan dan Pengedaran (SDA) antara Pharmaniaga Berhad, pembekal tunggal Sinovac di Malaysia dengan Selgate Healthcare. Ini melahirkan Program Vaksin Selangor (Selvax) dengan jumlah 2.5 juta dos yang ditempah, dengan jangkaan 1.25 juta orang penerima vaksin.

Serampang dua mata ini bakal memelihara kesihatan rakyat terbanyak dan pekerja industri termasuk kilang dan pejabat. Antara sasarannya adalah melindungi golongan warga emas, kumpulan B40, dalam kalangan penerima Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sedia ada seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Skim Peduli Sihat dan kategori lain yang akan ditentukan kelak berdasarkan keperluan.

Jadual vaksin

Mengikut kadar sedia ada, dianggarkan proses vaksinasi hanya akan berakhir seawal Disember 2021 dengan sebahagian rakyat hanya lengkap mendapat dua dos vaksin pada 8 Februari 2022.

Dengan Program Vaksin Selangor, kita mensasarkan tambahan sehingga kapasiti 43,500 dos vaksin sehari melalui lebih daripada 26 Pusat Pemberian Vaksin (PPV), dewan komuniti, PPV bergerak dan klinik serta hospital swasta.

Usaha ini dijangkakan menambah kapasiti harian vaksinasi dan mampu memendekkan jangka waktu yang signifikan sekitar 100 hari lebih awal dengan sasaran vaksinasi 80 peratus daripada populasi dewasa selesai pada Oktober 2021. Ini memenuhi jangkaan yang disebut oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk mencapai masing-masing 135,000 dos vaksin ketika Julai dan 165,000 dos vaksin harian menjelang Ogos.

Pekerja Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Lorong Enggang, Ampang pada 19 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dengan itu, Kerajaan Negeri menyasarkan sehingga 181,000 dos bagi penerima Selvax Komuniti secara percuma menjelang akhir Julai 2021.

Bagi Selvax Industri pula, kita sedar dan harus mengakui bahawa sejumlah besar kes saat ini berpunca daripada kluster tempat kerja. Mengikut angka dan data terkini (sepanjang bulan Jun 2021), 91 peratus kluster di Selangor berpunca daripada pekerjaan, iaitu 80 peratus kluster perkilangan dan 11 peratus kluster tapak bina, bersamaan dengan 125 kluster daripada dua sektor ini.

Memandangkan situasi ini, Kerajaan Negeri turut menyediakan dua juta dos vaksin bersamaan satu juta pekerja, termasuk pekerja asing, dalam usaha melindungi kita semua daripada penularan wabak ini.

Dengan memberikan vaksin kepada pekerja kilang dan industri, kita dapat mengawal dan mengurangkan kadar perebakan Covid-19, secara tidak langsung akan melindungi kita semua.

Walau bagaimanapun, Selvax Industri hanya terbuka kepada syarikat dan tidak dijual kepada individu.

Alhamdulillah, usaha Selvax Industri melengkapkan inisiatif PICK di peringkat pusat mendapat sambutan yang memberangsangkan. Antara syarikat-syarikat besar yang telah menyertai program kita adalah rangkaian pasaraya terbesar 99 Speed Mart, firma audit utama Ernst & Young, GLC gergasi
seperti Telekom Malaysia serta Touch n’ Go, juga syarikat binaan terkemuka seperti EcoWorld dan Tropicana.

Penting untuk dinyatakan di sini, syarikat yang mengambil bahagian tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang kos ke atas pekerja mereka. Ini telah termaktub dalam perjanjian dan borang ‘consent form’. Tindakan undang-undang boleh diambil kepada para majikan (employer) yang mengenakan caj bayaran kepada para pekerja (employee).

Butiran lain

Sejumlah lima PPV Mega, enam PPV Dewan Komuniti dan 15 Klinik Selcare yang akan melibatkan sekitar 5,000 tenaga kerja perubatan dan bukan perubatan dengan sejumlah 1,228 klinik panel akan digerakkan bagi melengkapkan usaha imunisasi di Selangor.

PPV Mega tersebut adalah Tropicana Gardens Mall (Kapasiti: 16,000 orang); Evo Mall, Bangi; Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya; De Palma Hotel, Shah Alam serta Aurora Mall, Bukit Jalil.

Anda tidak perlu risau kerana semua data anda akan diselaraskan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan tiada pertindihan data janji temu serta pensijilan vaksin.

Buat yang beragama Islam, hukum mendapatkan vaksin sudah dipersetujui harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan disahkan halal.

Untuk maklumat lanjut, sila layari vax.selangkah.my atau muat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) menyantuni penerima vaksin selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 30 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terus hubungi 1-800-22-6600 sekiranya anda hadapi sebarang masalah, atau menerusi platform-platform yang tertera.

Matlamat utama pelaksanaan Selvax ini adalah untuk melengkapi pelaksanaan PICK dan memastikan ‘herd immunity’ dicapai.

Dengan pelaksanaan Selvax ini dan tambahan bekalan vaksin dari JKJAV Persekutuan, dijangkakan jumlah suntikan vaksin akan meningkat ke 135,000 dos pada bulan Julai dan 165,000 dos vaksin pada Ogos.

Program Selvax hanya dapat berjaya dengan kerjasama utuh antara kita semua.

Pelaksanaan program ini diharapkan akan mempercepatkan peralihan keluar daripada keadaan meruncing sekarang. Tidak dinafikan, kadar kes yang masih tinggi ditambah dengan varian membimbangkan (VOC) yang lain serta yang baharu amat menggusarkan kita.

Namun kita harus terus berani untuk melangkah dengan persiapan rapi bekalan vaksin yang kita berjaya dapatkan.

Perancangan dan usaha Kerajaan Negeri didorong dengan keperluan merancang ke hadapan, termasuk kemungkinan keperluan suntikan tambahan (booster shot) untuk menghadapi kemungkinan varian serta ombak penularan baharu.

Ingat! Vaksin hanyalah suatu langkah pencegahan. Teruskan memakai pelitup muka, jaga jarak dan sentiasa mencuci tangan walaupun anda telah divaksin. Kita hanya selamat sehingga orang keliling kita termasuk keluarga dan kawan-kawan selesai menerima vaksin.

 


Pengarang :