Petugas perubatan dan sukarelawan menguruskan jenazah pesakit Covid-19. Foto ihsan Mais
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dari tiga ke 57 jenazah sehari, jihad sukarelawan urus pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 22 JULAI: Dari hanya tiga jenazah pesakit Covid-19 diuruskan sehari, Pertubuhan Amal Valley kini kadangkala menguruskan 57 pengebumian sehari susulan peningkatan kes.

Pengerusinya Dr Azfar Hussin berkata sejak April tahun lalu, pihaknya menguruskan hampir 2,000 jasad bermula dari bilik mayat hingga ke liang lahad secara percuma di sekitar Lembah Klang .

Bagaimanapun beliau memaklumkan atas permintaan waris, pertubuhan itu turut menyediakan perkhidmatan menghantar jenazah ke negeri asal seperti ke Kedah, Melaka serta Johor.

“Sewaktu awal Covid-19 melanda negara, terdapat pihak tertentu mengenakan caj pengurusan jenazah di hospital antara RM800 hingga RM1,500 tidak termasuk kos logistik dan ketika di kubur.

“Bermula dari situ kami dipanggil untuk membantu uruskan jenazah. Sukarelawan kami juga diberi latihan khas oleh doktor termasuk cara pemakaian sut pelindung diri (PPE),” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata seramai lima hingga tujuh sukarelawan dibahagikan kepada tiga pasukan untuk mengurus satu jenazah merangkumi tayammum dan solat, logistik serta liang lahad.

“Pasukan tayamun dan solat bergantung kepada keperluan kerana terdapat hospital akan menguruskannya sendiri.

“Pasukan logistik berperanan membawa jenazah ke kubur manakala pasukan liang lahad pula akan mengurus jenazah di kubur bersama ahli kariah,” katanya.

Dr Azfar memaklumkan pihaknya menguruskan jenazah di Hospital Ampang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Serdang dan Hospital Kajang.

Katanya, aktiviti sukarelawan itu sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) Klinik As-Salam yang memiliki 11 cawangan selain turut menerima sumbangan pelbagai pihak termasuk waris jenazah.

Semalam Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM50,000 kepada Pertubuhan Amal Valley, bagi menyediakan alat pengurusan jenazah pesakit Covid-19 meliputi beg mayat dan PPE.

Pertubuhan tersebut merupakan organisasi lantikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menguruskan jenazah membabitkan hospital di Selangor.


Pengarang :