EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail melihat produk kraftangan penduduk setempat di Mini Expo Usahawan (Mexus) daerah Sabak Bernam, pada 7 September 2019.
RENCANA

DPIM gesa kerajaan segera selamatkan sektor IKS, mikro

Penduduk Malaysia telah menjalani pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sekarang ini pula dijenamakan sebagai Pelan Pemulihan Negara (PPN) selama lebih 16 bulan sejak 18 Mac tahun lepas bagi membendung pandemik Covid-19.

Kes baharu harian yang berada di tahap 3,318 pada hari darurat diisytihar mencecah angka 17,045 kelmarin. Kes aktif yang pada 12 Januari berada di tahap 51,579 telah melonjak ke tahap 160,943 selepas 163 hari, memberi kita gambaran akan keparahan situasi sekarang walaupun darurat diisytihar.

Kadar pengangguran yang berada pada tahap 3.3 peratus pada Februari 2020, iaitu bulan sebelum PKP dimulakan, sekarang berada pada tahap 4.5 peratus, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM).

Bilangan penganggur pula pada Mei 2021 seramai 728,100 ialah 202,900 atau 38.6 peratus lebih tinggi daripada 525,200 pada Februari tahun lepas.

Kita kurang pasti apa yang telah berlaku selepas itu, mengambil kira PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun dan selepas itu dijenamakan semula sebagai PPN. Apa pun, menteri kewangan pernah mengatakan pada Mei tahun ini bahawa 2.8 juta pekerja informal dijangka berdepan dengan risiko kehilangan punca pendapatan jika PKP penuh dilaksanakan.

Dari segi perniagaan pula, tidak banyak data terpusat yang diterima. Menurut Research for Social Advancement (REFSA) dalam laporannya bertarikh 22 Julai, antara lainnya, jualan runcit merosot 16.3 peratus pada tahun 2020, dengan 30 peratus pusat membeli belah ditutup sejak Mac dan 300,000 pekerja menjadi penganggur.

Laporan yang sama menyebut sekurang-kurangnya 120 hotel telah memberhentikan operasi mereka sama ada untuk sementara atau kekal sejak Mac 2020.

Yang paling merisaukan ialah kenyataan menteri pembangunan usahawan dan koperasi baru-baru ini bahawa kira-kira 580,000 perniagaan mewakili 49 peratus sektor perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM) berisiko gagal menjelang Oktober ini jika mereka tidak dibenarkan beroperasi pada masa itu.

Awal bulan lepas, beliau memberi amaran lebih 90 peratus usahawan PKSM dan informal atau tidak berdaftar berisiko untuk menutup perniagaan sekiranya pelaksanaan PKP dilaksanakan secara berterusan.

Ahli-ahli Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) cawangan Selangor sesungguhnya merasai keperitan dalam perniagaan dan perusahaan yang kami ceburi akibat daripada PKP. Ini bukan kali pertama PKP dilaksanakan tetapi kali ketiga jika PKP 3.0 dan penjenamaan semulanya sebagai PPN Fasa 1 digabungkan.

Keadaan kewangan kami semasa PKP 3.0 dimulakan jauh lebih teruk daripada keadaan kewangan kami semasa PKP 1.0 bermula kerana ramai dalam kalangan kami ada yang sudah tiada lagi kekuatan kewangan.

Bayangkan PKP 1.0 dilaksanakan selama enam minggu setengah bermula 18 Mac sehingga 3 Mei 2020 walaupun pada waktu itu kes baharu harian tidak melebihi 235 kes.

Belum sempat perniagaan kami hidup semula, PKP 2.0 pula dilaksanakan selama tujuh minggu dari 13 Januari sehingga 4 Mac 2021 dan beberapa bulan kemudian PKP 3.0 pula bermula pada 1 Jun.

Kami ingin mencadangkan kepada kerajaan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyelamatkan usahawan-usahawan PKSM yang seterusnya akan dapat menyelamatkan pekerja-pekerja dalam sektor tersebut.

– Memastikan semua usahawan PKSM dan pekerja mereka menerima vaksin Covid-19 secepat mungkin, supaya mereka dapat menjalankan perniagaan mereka dengan lebih selamat.

– Mengadakan sesi penerangan sekurang-kurangnya melalui taklimat secara maya kepada semua usahawan PKSM dan pekerja mereka akan norma-norma baharu supaya mereka dapat menjalankan perniagaan mereka dengan lebih cermat dan selamat.

– Merubah pendekatan penyekatan perjalanan daripada mengikut negeri kepada mengikut mukim, supaya sesuatu mukim yang mempunyai kes yang rendah diberi kelonggaran SOP berbanding dengan mukim-mukim lain yang juga dalam satu daerah dan negeri yang mempunyai kes yang tinggi.

– Memansuhkan had 10km dan ditukar kepada had sempadan mukim. Ini penting dalam perniagaan kerana ia akan membenarkan pelanggan dari mukim yang sama untuk mengunjungi sesuatu perniagaan walaupun perniagaan berada lebih daripada 10km daripada kediaman pelanggan.

– Menyemak semula definisi “essential” dan “non-essential” yang dikaitkan kepada barangan dan perkhidmatan. Sebagai contoh, sebuah hypermarket dibenar menjual peti sejuk, televisyen dan pakaian, sedangkan kedai yang hanya menjual barangan elektrik atau pakaian tidak dibenar beroperasi. “Non-essential” bagi seseorang mungkin berupa “essential” bagi orang lain, dan begitu juga sebaliknya. Apa yang penting ialah mengenakan SOP yang sesuai bagi perniagaan dan perusahaan ini beroperasi seperti bilangan maksimum orang dalam sesuatu kedai atau sesuatu kawasan termasuk penjual.

– Kerajaan menyediakan geran RM5,000 bagi setiap pengusaha mikro, RM10,000 bagi setiap pengusaha kecil dan RM20,000 bagi setiap pengusaha sederhana melalui persatuan-persatuan perdagangan masing-masing bagi membantu mereka untuk bangun semula dan meneruskan perniagaan atau perusahaan.

Adalah diharapkan, bukan hanya perniagaan mereka boleh diteruskan, malah mereka boleh terus menggaji pekerja mereka.

DPIM Selangor berharap kerajaan dapat pertimbangkan cadangan ini demi menyelamatkan sektor PKSM sambil mengambil kira keadaan pandemik Covid-19 pada waktu ini.

*Kenyataan oleh Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor Mohd Yahya Mat Sahri.


Pengarang :