Suasana di sekitar Klinik Desa Sungai Lui pada 6 April 2020 menyaksikan barisan hadapan terdiri daripada jururawat dan doktor giat mengambil sampel daripada penduduk bagi ujian saringan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dr Dzulkefly: Jangan layan doktor kontrak seperti PPE, buang selepas guna

SHAH ALAM, 27 JULAI:  Ahli parlimen Kuala Selangor berharap pegawai perubatan kontrak tidak dikenakan tindakan disiplin susulan protes Hartal Kontrak semalam.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kumpulan itu hanya mahu penyelesaian munasabah iaitu pelantikan mereka melalui proses telus, peluang melanjut pengajian selain layanan adil.

Bekas menteri kesihatan berkata protes berkenaan hanya langkah terakhir dalam rayuan supaya kebajikan mereka dilindungi tanpa dihukum tindakan disiplin oleh kerajaan.

“Jangan jadikan mereka dalam pandemik ini seumpama sut pelindung diri (PPE), dibuang selepas diguna pakai.

“Saya ingatkan perkara ini kerana ini satu nota penting untuk saya bangkitkan kerana kita konsisten perjuangkan kebajikan mereka,” katanya ketika berbahas pada hari kedua sidang khas Parlimen hari ini.

Dr Dzulkefly berkata memperkasa perkhidmatan termasuk perjawatan antara keutamaannya ketika menjadi menteri kesihatan dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) dengan menubuhkan majlis penasihat diketuai bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Prof Emeritus Abu Bakar Sulaiman.

“Jangan lagi kata PAKATAN pandang sepi perkara ini, malah di tahap awal kami beri satu kedudukan baik dari gred UD41 kepada UD43.

“Ketika perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) waktu itu mahu mengecilkan saiz perkhidmatan awam, Kementerian Kesihatan mampu mendapat 10,867 perjawatan antara lain doktor,” katanya.

Semalam, pegawai perubatan kontrak di hospital di beberapa negeri terbabit dalam Hartal Doktor Kontrak atau mogok umum dengan keluar beramai-ramai dari premis kesihatan tempat mereka bekerja tepat pukul 11 pagi.


Pengarang :