Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dr Mahathir: Kuarantin di rumah jangkit ramai orang, segerakan vaksin semua

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kuarantin kendiri di rumah bagi pesakit Covid-19 tidak bersesuaian kerana boleh menjangkiti keluarga atau rakan, kata Ahli Parlimen Langkawi.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hal itu kerana sebilangan besar pesakit tersebut mungkin tidak diasing sekali gus akan merebakkan jangkitan kepada orang lain.

“Tahap jangkitan bagi 17,000 pesakit ini tidak sama. Sudah tentu hanya segelintir sahaja akan dirawat dan dimasukkan ke hospital manakala yang kurang serius pula mencecah ribuan kes dan terpaksa kuarantin di rumah.

“Mereka tidak dapat dikuarantin dengan betul, mungkin ada yang tidak diasingkan dan kesudahannya individu serumah pula akan keluar tanpa sedar sebenarnya menyebarkan wabak itu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata kes Covid-19 akan berterusan meningkat, malah daripada 17,000 kes baharu hanya 1,000 sahaja dapat dimasukkan ke hospital.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Semakin besar bilangan pesakit yang dikuarantin di rumah, semakin banyak jumlah kes baharu. Oleh itu, satu-satunya jawapan adalah vaksinasi.

“Dos vaksin 500,000 sehari tidak cukup. Vaksinasi percuma ini harus diberikan kepada semua individu dengan kadar segera,” katanya.


Pengarang :