Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di PPV Pusat Perubatan MSU, Shah Alam pada 11 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Dua lagi kawasan PKPD di Selangor bakal terima vaksin

SHAH ALAM, 19 JULAI: Dua kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) iaitu Apartment Damai mukim Damansara dan Jalan Pandan Indah mukim Ampang akan menerima vaksin dalam tempoh terdekat.

Pegawai daerah Petaling berkata seramai 2,600 penduduk Apartment Damai mula disaring secara berperingkat hari ini dan esok sebelum individu yang negatif akan menerima vaksin.

“Rabu dan Khamis ini kita akan tunggu keputusan dan dijangka Jumaat boleh mula disuntik,” kata Datuk Johary Anuar ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sebanyak 700 bakul makanan keperluan diedar semalam di 700 unit rumah berpenghuni daripada 742 yang ada di tiga blok apartment berkenaan.

Sementara itu, Pegawai daerah Hulu Langat memaklumkan 1,400 penduduk di Jalan Pandan Indah telah disaring secara berperingkat sejak semalam.

“Perancangan Kerajaan Negeri adalah memastikan semua yang dikenal pasti negatif akan divaksin pada hari terakhir PKPD.

“Selain itu, bantuan makanan telah diedarkan kepada semua tiga blok apartment mengandungi 430 unit rumah pada malam tadi,” kata Najmuddin Jemain.

Pada 16 Julai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor akan dikuatkuasa PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Apartment Damai, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.


Pengarang :