Petugas kesihatan membuat persiapan sebelum memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dua lagi vaksin Covid-19 diluluskan untuk kegunaan kecemasan

SHAH ALAM, 16 JULAI: Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini meluluskan penggunaan secara kecemasan vaksin Covid-19 Sinopharm dan Johnson & Johnson (J&J).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mesyuarat PBKD bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi dua produk vaksin tersebut.

“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

COVILO merupakan vaksin yang dibangunkan oleh China National Biotec Group Company Limited (CNBG), Sinopharm, yang juga dikenali sebagai vaksin Covid-19 Sinopharm.

Vaksin J&J yang hanya memerlukan satu dos suntikan pula dibangunkan Janssen Pharmaceutica N.V. dari Belgium.

Malaysia telah meluluskan beberapa jenis vaksin Covid-19 secara kecemasan, antaranya AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Sinovac dan CanSino.


Pengarang :