Pekerja kilang Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Taman Keramat, Ampang pada 19 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Dua pusat vaksin sektor agrikomoditi dibuka di Selangor

PUTRAJAYA, 2 JULAI: Dua pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) di bawah Program Vaksinasi untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS), akan dibuka di Selangor bulan ini, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Dua PPVIN itu terletak di Ladang Tennamaram di Bestari Jaya dan Pusat Biokomposit dan Gentian (Fidec) di Olak Lempit, Banting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, PPVIN di Ladang Tennamaram memfokuskan kepada 6,400 pekerja di sektor perladangan sawit, manakala PPVIN di Fidec mensasarkan 7,800 pekerja dalam sektor perkayuan.

Beliau berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), menyambut baik keputusan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) semalam, yang meluluskan sektor perladangan dan komoditi sebagai sektor ekonomi keempat yang terlibat dalam program PPVIN.

“Dalam menyokong usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada kumpulan barisan hadapan ekonomi, kelulusan yang diberikan oleh CITF adalah merupakan perkhabaran malah galakan yang sangat ditunggu-tunggu oleh industri sektor itu,” katanya.

Beliau berkata, KPPK menghargai penglibatan langsung pemain industri seperti Persatuan Minyak Sawit Malaysia bersama Sime Darby Plantation Bhd, bagi pengoperasian PPVIN di Ladang Tennamaram dan Majlis Kayu Kayan Malaysia bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, bagi pengoperasian PPVIN di Fidec.

Beliau berkata, pembukaan PPVIN seterusnya tertakluk kepada pertimbangan serta kelulusan CITF.

-BERNAMA


Pengarang :