Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Hee Loy Sian (kanan) melihat proses pendaftaran ketika meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dun Kajang di Dewan Sri Cempaka Saujana Impian, Kajang pada 26 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Kajang mahu anjur Selvax Komuniti siri kedua, fokus golongan remaja

SHAH ALAM, 28 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bercadang mahu mengadakan program Selangor Vaksin (Selvax) Komuniti siri kedua.

Wakil rakyat Hee Loy Sian berkata, pelaksanaan itu nanti memfokus kepada individu berusia 12 hingga 17 tahun.

“Hanya 1,371 penerima hadir ke Selvax Komuniti DUN Kajang semalam (Isnin). Jumlah itu tidak mencapai sasaran 2,600 seperti diperuntuk Kerajaan Negeri kerana kebanyakan yang berusia 18 tahun ke atas mendapat janji temu MySejahtera.

“Saya akan membincangkan cadangan untuk mengadakan Selvax Komuniti DUN Kajang kali kedua dalam mesyuarat EXCO akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Loy Sian berkata semua individu daripada golongan berisiko tinggi juga telah menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

Program Selvax Komuniti DUN Kajang dilaksanakan di Dewan Seri Cempaka pada Isnin bermula jam 8.30 pagi hingga 8.30 malam.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :