ADN Kota Kemuning V Ganabatirau menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk terjejas di kawasannya pada 4 Julai 2021. Foto Facebook Ganabatirau Veraman
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Kota Kemuning gerakkan lebih 10 pasukan cari keluarga terjejas

SHAH ALAM, 5 JULAI: Lebih 10 pasukan digerakkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning untuk mengesan keluarga terkesan akibat pandemik Covid-19.

Wakil rakyat V Ganabatirau berkata pasukan yang menjalankan rondaan terdiri daripada ahli majlis, ketua kampung dan komuniti serta pusat khidmat masyarakat.

“Setiap pasukan bergerak mencari rumah keluarga terjejas sama ada yang mengibarkan bendera putih atau sebaliknya dan mereka dibekalkan dengan 10 bakul makanan bagi memudahkan memberi bantuan.

“Untuk hari ini, kita mengagihkan kira-kira 100 bakul makanan termasuk enam keluarga yang mengibarkan bendera putih,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ganabatirau yang juga EXCO kebajikan masyarakat berkata pihaknya mewujudkan program “Sponsor A Family” iaitu keluarga berkemampuan membantu keluarga terkesan.

“Program ini salah satu usaha menggalakkan orang ramai membantu keluarga terkesan atau mereka boleh terus memaklumkan kepada wakil rakyat,” katanya.

Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula semalam sehingga 16 Julai.


Pengarang :