Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu menghulurkan bantuan makanan dan barangan keperluan lain ke Rumah Sejahtera Warga Emas Kerling pada 7 Julai 2021. Foto Facebook Lee Kee Hiong
ADNSELANGOR

DUN Kuala Kubu Bharu beri bantuan di rumah kebajikan

SHAH ALAM, 11 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu memberi tumpuan mengagihkan bantuan ke rumah kebajikan selain mereka yang mengibarkan bendera putih.

Wakil rakyatnya, Lee Kee Hiong berkata penghuni rumah berkenaan turut dibantu berikutan kebanyakan bergantung sepenuhnya dengan sumbangan individu dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Ramai terjejas akibat Covid-19 dan kita yakin rumah-rumah kebajikan ini juga berdepan situasi sama serta perlu dibantu supaya tidak terputus bekalan makanan atau keperluan lain.

“Selain makanan, kita juga menyumbang barangan seperti susu, lampin pakai buang mengikut keperluan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, individu di DUN terbabit yang memerlukan pertolongan akan dibantu pusat khidmat masyarakat, ahli majlis, ketua kampung dan NGO dengan bekalan makanan hendak diagih diperoleh di kedai runcit berhampiran kawasan penerima.

“Ini salah satu cara menyokong membangunkan ekonomi tempatan pemilik premis niaga itu yang juga terkesan terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

PKPD dikuat kuasa membabitkan 34 mukim di lapan daerah di negeri ini selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Julai.


Pengarang :