Petugas kesihatan memberi suntikan kepada peserta program Vaksin Selangor di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 16 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

DUN Sungai Ramal: Pekerja terdedah jangkitan terima vaksin Selangor

SHAH ALAM, 19 JULAI: Individu terdedah jangkitan Covid-19 seperti pekerja lapangan akan diutamakan mendapat suntikan Vaksin Selangor (Selvax) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal.

Ahli Dewan Negerinya Mazwan Johar berkata keutamaan diberikan kerana kumpulan pekerja terbabit perlu berdepan pelbagai lapisan masyarakat yang mungkin menjadi pembawa senyap wabak.

“Kumpulan terbabit contohnya pekerja di stesen minyak atau anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), setiap hari mereka bertemu orang ramai, jadi sudah tentu risiko dijangkiti ada.

“Pendaftaran dibuka sejak semalam sehingga Jumaat ini serta terhad kepada 2,500 orang. Borang pendaftaran boleh diisi dengan mengimbas kod QR pada poster program di Facebook saya,” katanya kepada SelangorKini .

Beliau berkata peserta terpilih akan mendapat vaksin pada 27 Julai ini di Dewan Sri Cempaka, Kajang.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.


Pengarang :