Foto dari Facebook Selangor Xtiv Virtual 2021
EXCOSELANGOR

e-Sukan Selangor kekal popular, catat lebih 140,000 peserta

SHAH ALAM, 25 JULAI: Selangor Xtiv Virtual E-Sport kekal merekodkan penyertaan tertinggi seramai 140,470 peserta dalam edisi kedua program yang diperkenalkan Mac lalu.

Acara e-sukan meliputi permainan PUBG, Mobile Legends Bang Bang dan FIFA Pro Club.

EXCO pembangunan sukan berkata acara lain seperti Selangor Xtiv Virtual Marathon mencatatkan 4,395 peserta, seni mempertahankan diri (3,017) dan basking belia (2,461).

Sementara permainan catur dalam talian pula merekodkan 1,710 peserta dan lompat tali 713 orang.

“Program lain seperti Selangor Xtiv Virtual Ride akan dilancarkan apabila kelonggaran diberikan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan Selangor Xtiv Virtual 2021 yang mempertaruhkan enam acara mencatatkan seramai 153,306 peserta setakat ini atau 34 peratus daripada sasaran 450,000 penyertaan.

Selangor Xtiv Virtual 2021 yang bermula Mac hingga Disember menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM411,680.

Tahun lalu, program terbabit mendapat sambutan luar jangka membabitkan 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.


Pengarang :