Orang ramai beratur untuk mendaftar bagi mendapat suntikan pelalian bawah program Vaksin Selangor (Selvax) anjuran DUN Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama dan Bukit Lanjan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall pada 30 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Empat DUN bergabung lengkapkan kuota 4,000 peserta Selvax Komuniti

PETALING JAYA, 30 JULAI: Empat Dewan Undangan Negeri (DUN) bergabung bagi melengkapkan kuota 4,000 peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti hari ini.

Program yang berlangsung di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini menggandingkan DUN Bandar Utama, Bukit Lanjan, Bukit Gasing dan Kampung Tunku.

Wakil rakyat Bandar Utama berkata tumpuan diberikan kepada peserta yang gagal hadir pada fasa pertama baru-baru ini selain mereka yang belum menerima janji temu melalui MySejahtera.

“Langkah ini penting kerana kita mahu meningkatkan peratusan rakyat Selangor divaksin sekali gus membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok.

“Selain itu, kita juga perlu mengisi kelompongan yang ada dalam aplikasi MySejahtera memandangkan masih ramai belum menerima janji temu,” kata Jamaliah Jamaluddin.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku menggesa masyarakat negeri ini supaya memanfaatkan program Selvax dengan hadir ke PPV mengikut masa dan tarikh ditetapkan.

Lim Yi Wei menjelaskan kerjasama orang ramai amat dituntut berikutan situasi semasa pandemik dan tidak memberi pelbagai alasan untuk divaksin.

“Jadi, kita berharap program Selvax dapat meningkatkan keyakinan orang ramai berhubung kepentingan vaksin. Jangan fikir soal fobia jarum atau kesan sampingan kerana perlindungan diri itu sangat penting,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan dua juta dos vaksin kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Seramai 1.04 juta atau 22 peratus rakyat Selangor lengkap menerima dua dos suntikan vaksin setakat semalam dengan 151,884 dos disuntik bawah program Selvax.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.

 


Pengarang :