Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada penerima semasa program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Kajang di Dewan Sri Cempaka Saujana Impian, Kajang pada 26 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Empat sekeluarga teruja dapat janji temu Selvax seminggu selepas daftar

GOMBAK, 26 JULAI: Empat sekeluarga tidak menduga menerima tarikh janji temu mendapatkan suntikan bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti seminggu selepas mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Muhamad Farid Zakaria, 32, bersama isteri Nur Ain Shamsuddin, 29, abang ipar Hairolazni Shamsuddin, 33, yang juga orang kelainan upaya (OKU) serta adik ipar Muhamad Hafiz Shamsuddin, 20, antara 1,300 penduduk Taman Templer mendapat suntikan dos pertama jenis Sinovac di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan hari ini.

Muhamad Farid Zakaria

Peniaga sate ikan itu berkata beliau lega dan bersyukur kerana diberi peluang dengan segera sekali gus menamatkan penantian hampir empat bulan untuk mendapat perlindungan daripada wabak.

“Memandangkan terlalu lama menunggu panggilan MySejahtera, bapa mentua saya nekad beri nama kami berempat kepada ahli jawatankuasa surau berdekatan rumah untuk didaftarkan dalam Selvax dan kebetulan program ini sedang berlangsung.

“Semalam, kami dapat notifikasi di SELangkah yang memaklumkan layak sebagai penerima vaksin dan perlu hadir ke PPV ini hari ini. Alhamdulillah, tak sangka prosesnya sangat cepat,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Sementara itu, wanita OKU dari Kampung Melayu Batu 16, Rawang, Rohani Abdullah, 52, begitu teruja dan bersemangat ke PPV berkenaan meskipun terpaksa berkerusi roda.

Rohani Abdullah

Beliau yang ditemani adik dan abang ipar yang juga penerima vaksin mengakui gementar untuk disuntik berikutan fobia jarum namun berjaya melengkapkan proses tersebut dalam tempoh kurang 20 minit.

“Walaupun menanggung sakit seketika namun saya percaya ini semua demi kebaikan apatah lagi dengan kemunculan varian baharu yang berbahaya, saya rasa perlindungan diri itu sangat penting.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana melaksanakan program ini dengan tidak menyisihkan golongan OKU seperti saya,” katanya yang lumpuh kaki kiri sejak lahir.

Seorang lagi peserta Azhi Zaidi Ani, 49, berharap dapat kembali bekerja seperti sediakala selepas lengkap menerima dos kedua nanti memandangkan pendapatan terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Azhi Zaidi Ani

Bapa kepada dua anak yang menetap di Kampung Batu 17, Rawang berkata kerjayanya sebagai kru penerbitan sambilan terpaksa dihentikan kerana terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Saya percaya Selvax ini bukan sahaja membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok tetapi akan memberi ruang kepada penggiat dalam sektor tertentu untuk beroperasi semula,” katanya sambil memuji proses suntikan yang disifatkan sangat cepat dan mudah.


Pengarang :